Wednesday, 7 October 2015

Pengertian Maal Hijrah yang Sebenar

Maal Hijrah bukanlah hanya membawa makna sambutan tahun baru walaupun rata-rata itulah yang difahami ramai dari kita. Malah lebih ramai dari kita juga sebenarnya tak sedarpun akan kemunculan tahun baru hijrah kerana minda muslim kita yang telah dikorupkan oleh ‘software’ yang meminggirkan kalendar Hijrah. Jika ada yang tersedarpun adalah kerana cuti umum yang diberikan. Lalu Maal Hijrah adalah nama atau tajuk yang tiada makna untuk direnungkan, jauh sekali untuk dihayati dan ianya berlalu tanpa kita sedari.

Hijrah adalah titik penting bagi syiar Islam. Jika tiada peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W yang Allah perintahkan kepada baginda, cerita-cerita selepasnya pasti berbeza. Jika tiada usaha, ikhtiar dan kesungguhan baginda melaksanakan perintah Hijrah tersebut, cerita-cerita selepasnya mungkin tak bermula dan sejarah akan pasti tiada. Malahan islam tidak akan tercorak seperti sekarang.

Jika kalendar Hijrah adalah bersandarkan peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W, dan peristiwa itu adalah perintah Allah S.W.T buat Rasul dan Rasul harus melaksanakannya. Maka erti Maal Hijrah haruslah dilihat sebagai suatu arahan atau perintah Allah juga. Demi melihat sebuah transformasi berlaku, Allah S.W.T telah memerintahkan baginda Rasullullah S.A.W dan seluruh umat Islam yang masih berada di bumi Mekah supaya meninggalkan tempat itu dan menuju ke kota Madinah. Ini adalah satu transformasi yang memerlukan pengorbanan dan perjuangan yang besar dan dari detik ini juga kaum Muhajirin dan kaum Ansar bersatu dibawah satu agama iaitu Islam.

Jika tahun Masihi disambut dengan azam tahun baru yang membawa kepada perubahan diri kita, sama juga dengan tahun Hijrah. Kita sebagai umat-NYA harus berazam ke arah perubahan ummah dan diri sendiri agar Islam menjadi agama terulung dan dihormati.Begitulah maksud tersirat dalam sambutan Maal Hijrah atau juga disebut Awal Muharram yang jarang diketahui oleh umat islam.

Di kesempatan ini saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1437H kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga ketibaan tahun baru ini akan menjadikan kita Ummah yang dapat mentransformasikan minda dan pemikiran kita untuk maju seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi, dan seterusnya membawa syiar Islam ketahap tertinggi.  

PERISTIWA PENTING DALAM MUHARAM

1) 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru                              Islam (Kalendar Hijriah).
2) 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang                                mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi                                            menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

1) Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2) Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3) Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam         bulan.
4) Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6) Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7) Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8) Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9) Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40             malam.
10) Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
11) Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12) Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13) Hari pertama Allah menciptakan alam.
14) Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15) Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16) Allah menjadikan 'Arasy.
17) Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18) Allah menjadikan alam.
19) Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20) Nabi Isa diangkat ke langit.

1 comment: